Elak Provokasi Semasa Pilihan Raya Sarawak – Fadillah

20 Feb

YB Datuk Haji Fadillah Yusoff

Suara Sarawak ingin berkongsi artikel yang baru dipetik daripada e-suratkhabar tempatan di Sarawak.  Menurut berita yang terkandung, Ketua Pemuda BN Negeri Sarawak menyambut baik langkah Suruhanjaya Pilihan Raya Sarawak untuk mengadakan taklimat kepada semua parti politik di Sarawak yang akan bertanding dalam pilihan raya Sarawak kelak.   Ini bertujuan untuk mengelak sebarang bentuk kesulitan baik dari segi provokasi atau pengkhianatan dalam waktu berkempen kelak.

Kalau dilihat dari segi teknik dan modus operandi yang digunakan, pihak pembangkang lebih menjurus kepada cara provokasi dan menghalang pengundi daripada turun ke pusat pemilihan.  Sibu telah menunjukkan modus operandi yang telah berjaya menggugat kerusi Barisan Nasional dengan provokasi dan penyelewengan oleh pihak pembangkang.  Namun begitu setelah sedar daripada kejutan tsunami 2008 dahulu, maka langkah kerajaan adalah menganjurkan Unit Media Baru dan juga taklimat pilihan raya agar pengundi akan sedar dan faham dengan tugas masing-masing.

Mungkinkah Lim Guan Eng akan turun ke Sibu lagi untuk memantau proses pengiraan undi bagi memastikan kemenangan kepada DAP?  Cara Lim Guan Eng memang berkesan pada ketika itu dengan membatalkan banyak kertas undi BN.  Adakah teknik yang sama akan digunakan pada pilihan raya Sarawak kelak?

Ketua Menteri Sarawak juga telah tertipu apabila pegawai bertali-leher yang berlagak seperti urusetia SPR menghalang beliau untuk memasuki kawasan pengiraan undi.  Apabila diselidik pegawai bertali-leher tersebut adalah ahli pihak pembangkang yang ditugaskan untuk berlakon menyerupai pegawai SPR bagi melarang orang kuat BN masuk ke kawasan penting dan strategik.  Memang  modus operandi mereka telah membuahkan hasil pada masa itu.

Robert Lau Mengucapkan Tahniah

Menurut sumber daripada akar umbi pula, Wong Ho Leng, calon DAP  dan Robert Lau, calon BN pada masa itu adalah kawan rapat dan sering bermain tenis bersama.  Mungkinkah calon BN sengaja memberi peluang kepada Wong Ho Leng untuk menjadi wakil rakyat pada masa itu?  Mungkinkah juga SUPP sengaja membenarkan DAP untuk menguasai kawasan itu?

Taklimat SPR elak provokasi dalam pilihan raya Sarawak

Posted on Utusan Borneo, February 20, 2011, Sunday

KUCHING: Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Fadillah Yusof berkata taklimat yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kepada parti-parti politik semalam adalah bagi mengelakkan sebarang provokasi dalam proses pilihan raya negeri nanti.

Beliau yang menyambut baik langkah SPR mengadakan taklimat lebih awal kepada parti-parti politik di sini semalam, berkata taklimat itu juga bagi menjamin proses pilihan raya negeri dan peraturannya dipatuhi semua pihak.

“Kami menyambut baik langkah SPR mengadakan taklimat kepada parti-parti politik yang bakal bertanding pada pilihan raya negeri yang akan diadakan bila-bila masa dari sekarang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Semua parti politik termasuk parti-parti komponen BN Sarawak iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) serta parti-parti pembangkang iaitu Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menghadiri taklimat dalam dua sesi itu.

Taklimat disampaikan oleh Pengerusi SPR Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof dan turut dihadiri oleh Pengarah SPR Negeri Datu Takun Sunggah dan Setiausaha SPR Datuk Ngah Senik.

Fadillah menarik perhatian SPR telah memperjelaskan peraturan dan undang-undang pilihan raya yang seharusnya dipatuhi semua parti termasuk BN.

Beliau berkata calon-calon yang bertanding juga perlu mengawal etika terutamanya penggunaan bahan-bahan kempen termasuk Internet.

“Kita sememangnya perlu mematuhi segala prosedur, perundangan dan peraturan yang ditetapkan SPR ketika kempen pilihan raya,” katanya.

Fadillah yang juga Timbalan Menteri Sains Teknologi dan Inovasi berkata SPR juga mahu memastikan tiada pihak ‘luar’ yang masuk campur dalam proses pilihan raya negeri Sarawak nanti.

Beliau yang berpuas hati dengan taklimat pihak SPR, mencadangkan agar tempoh berkempen kepada parti-parti politik dalam pilihan negeri Sarawak nanti disingkatkan kepada tujuh hari sahaja.

“Tempoh tujuh hari cukup memadai untuk berkempen dan amat sesuai dalam proses pilihan raya negeri ini,” katanya.

Sementara itu, SPR telah bersiap sedia untuk menjalankan proses pilihan raya bagi negeri ini yang bakal diadakan sekitar Mac hingga Julai depan.

Abdul Aziz dalam sidang medianya malam kelmarin memberitahu bahawa SPR mahu menjadikan pilihan raya negeri Sarawak adalah yang terbaik pernah dilakukan di negara ini.

“Kami (SPR) mahu pilihan raya negeri Sarawak kali ke-10 pada tahun ini adalah yang terbaik dan teratur pernah diadakan di negara ini,” katanya.

Sehubungan itu, SPR telah membuat perancangan terperinci dan menyeluruh melibatkan semua aspek termasuk dari segi logistik bagi melicinkan proses pengundian yang bakal diadakan di negeri ini.

“Saya percaya dengan perancangan terbaik itu kita mampu menjalankan proses demokrasi dengan adil dan saksama bagi Sarawak pada pilihan raya negeri nanti,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: